Thursday, August 12, 2010

Indahnya Lailatul Qadar


Hari ini hari kedua kita berpuasa, so topik biasa yang orang bincangkan adalah makanan walaupun sebenarnya adalah lebih afdhal jika kita melebihkan ibadat sepanjang bulan puasa ni. Jadi untuk mengambil yang lebih afdhal hari ini saya nak berkongsi tentang Kelebihan Bulan Ramadhan; Malam Lailatul Qadar.
Malam Lailatul Qadar adalah suatu malam di dalam bulan Ramadhan sebagai suatu malam istimewa kerana
1. Malam yang digambarkan di dalam Al-Quran sebagai malam yang lebih baik dari 1000 bulan.
2. Malam ketetapan dan merupakan malam diturunkan Al-Quran.
3. Malam yang dikatakan sempit dengan kehadiran para malaikat kerana Jibrail akan turun ke bumi dan dengan izin Allah menjalankan urusan di muka bumi. Pintu rezeki dibuka seluasnya bagi mereka yang dikehendaki-Nya dan disempitkan bagi mereka yang dikehendaki-Nya.
Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa terjadinya malam Lailatul Qadar itu pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan menurut hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Rasulullah SAW juga amat bersungguh-sungguh menghidupkan sepuluh malam terakhir daripada bulan ramadhan bersama-sama ahli keluarganya dengan beribadah, bertadharu', beristighfar dan bermunajat kehadrat Allah, memohon rahmat, keampunan dan keredhaanNya. Rasulullah tetap berjaga malam untuk berqiamullail dan cuma tidur seketika sahaja walaupun baginda seorang yang maksum, dijamin terpelihara daripada dosa dan noda bahkan dijamin syurga. Orang yang tekun beribadah pada 10 malam yang terakhir daripada bulan ramadhan akan mendapat rahmat yang dijanjikan sama ada dapat atau tidak menemui apa-apa tanda. Kerana yang penting adalah sepertimana yang tersebut dalam hadis sohih riwayat Bukhari dan Muslim iaitu:

* Menghayati malam tersebut dengan ibadah seperti solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir dan berdoa serta beristigfar.
* Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatul Qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
* Amal ibadah itu hendaklah ikhlas dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya bukan kerana ikut-ikutan atau menunjuk-nunjuk.

Jika Allah berkehendakkan seseorang itu menemui tandanya, para alim ulama' menyebut bahawa beberapa tanda-tanda bila berlaku malam Lailatul Qadar ialah :

* Ada yang berkata orang yang menemui malam Lailatul Qadar akan melihat 'NUR' yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.
* Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.
* Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
* Ada yang berkata doa permohonannya makbul.
* Imam Tabari pula menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya seseorang itu dapat melihat atau mendengar kerana tidak disyaratkan melihat atau mendengar sesuatu untuk menemui malam Lailatul Qadar.


Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan bahawa antara tanda malam  Lailatul Qadar telah berlaku adalah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk putih bersih bagaikan bulan penuh dan tidak mempunyai sinar yang terlalu panas. Tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahayanya.


Semoga kita diberikan kekuatan untuk terus beribadat dan bertemu dengan malam Lailatul Qadar. Janganlah leka menyiapkan biskut raya di akhir-akhir Ramadhan tapi berebut-rebutlah memenuhi masjid dan surau untuk terus bertarawih. Janganlah sibuk menghias rumah sehingga penat untuk berjaga malam di 10 malam terakhir. Lakukan dengan ikhlas Insyaallah ganjaran yang besar menanti kita.....

No comments:

Post a Comment